STPM :: SPM 考生论坛
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

STRATEGI BERKESAN ELAK IMPAK BURUK EKONOMI

向下

STRATEGI BERKESAN ELAK IMPAK BURUK EKONOMI Empty STRATEGI BERKESAN ELAK IMPAK BURUK EKONOMI

帖子 由 言言 周日 七月 26, 2009 10:46 am

Strategi berkesan elak impak buruk ekonomi
Oleh Abdul Rahman Mahmud

DALAM dunia globalisasi, aspek ekonomi adalah langkah terpenting dalam
usaha membangunkan sesebuah negara secara lestari. Oleh itu, apa saja
krisis yang timbul dalam hal ekonomi akan menjejaskan misi melestarikan
pembangunan. Kini, dunia sedang berhadapan dengan krisis inflasi global
yang semakin meningkat. Kadar inflasi yang tinggi boleh membawa kesan
buruk terhadap aktiviti ekonomi dan sosial sesebuah negara. Kadar
inflasi didorong kenaikan harga minyak di pasaran dunia kini amat sukar
dibendung. Penganalisis ekonomi menjangkakan harga minyak dunia akan
terus mencecah pada paras AS$200 dolar setong sehingga akhir tahun ini.
Sehingga kini tiada sebarang petanda harga minyak akan turun.

Keadaan ini sekiranya tidak dibendung dengan langkah konstruktif sudah
pasti akan membawa pelbagai masalah kepada keharmonian masyarakat
dunia. Inflasi secara umumnya ditakrifkan sebagai kenaikan harga
berterusan dalam tingkat harga umum. Harga umum bermaksud paras harga
bagi keseluruhan barang dan perkhidmatan yang ada dalam sesuatu ekonomi
pada sesuatu masa tertentu. Krisis inflasi global yang berlaku kini,
banyak didorong kenaikan harga minyak di pasaran dunia, sekali gus
mendorong kepada kenaikan harga barang keperluan lain. Kenaikan harga
barang berlaku disebabkan ada peningkatan kos pengeluaran dan
pengangkutan yang amat bergantung kepada penggunaan minyak. Masyarakat
yang berpendapatan rendah di kawasan bandar dan luar bandar sudah tentu
merasai keperitannya. Kenaikan harga barang keperluan akan mengurangkan
kuasa membeli rakyat. Hanya mereka berpendapatan tinggi, mampu membeli
barang berkualiti. Ini menyebabkan mereka yang berpendapatan rendah
terpaksa memilih barang yang rendah kualitinya, sesuai dengan
pendapatan mereka. Akibatnya kualiti hidup rakyat akan menurun dan
keselesaan yang pernah dikecapi sebelum ini, kini seolah-olah akan
berakhir.

Kenaikan inflasi secara berterusan juga amat membimbangkan kerana ia
boleh menambah jumlah rakyat miskin di dunia. Seperti mana, yang pernah
diungkapkan Indra Ghandi, iaitu kemiskinan adalah punca pencemaran yang
paling besar. Sebelum ini, Bank Dunia pernah menyatakan mengenai
kenaikan harga makanan, dijangka menyebabkan 100 juta penduduk dunia
jatuh dalam kategori kemiskinan melarat. Fenomena kenaikan harga
makanan ini juga dijangka akan berlarutan sehingga 2015. Selain itu,
inflasi global juga boleh menjejaskan pembangunan dalam sektor ekonomi.
Pembangunan aktiviti industri, perdagangan dan perkhidmatan akan
menerima kesan langsung. Peluang pekerjaan mula menyusut dan kadar
pengangguran semakin meningkat. Keadaan ini akan mendorong kepada
tekanan hidup masyarakat yang dijangka membawa peningkatan terhadap
gejala sosial. Tidak dapat dinafikan apa yang berlaku kini adalah impak
daripada globalisasi ekonomi. Fenomena ini adalah satu ancaman besar
terhadap kelestarian pembangunan sesebuah negara, wilayah dan dunia
secara umumnya.

Namun timbul juga persoalan adakah konsep pembangunan lestari itu
benar-benar diterapkan dalam proses pembangunan atau pun ia sekadar
hiasan semata-mata. Tanpa mengira apa juga persoalannya, kita perlu
melakukan ulangkaji terhadap apa yang sudah berlaku kini. Mengulangkaji
dalam erti kata menilai semula impak globalisasi terhadap kelestarian
pembangunan. Globalisasi bukan hanya memberikan kesan kepada ekonomi,
malah mengheret masyarakat dunia ke kancah globalisasi kemiskinan.
Justeru, pembangunan lestari perlu dilihat dalam aspek menyeluruh.
Elemen dalam pembangunan seperti ekonomi, sosial, budaya serta
penggunaan sumber alam perlu diurus dalam ruang lingkup yang bersepadu
dan bukannya dalam bentuk yang terpisah antara satu sama lain. Strategi
pembangunan lestari perlu diperkukuhkan dengan langkah berkesan untuk
berhadapan dengan globalisasi. Dalam konteks negara kita, usaha
mengukuhkan teras ekonomi rakyat perlu dipertingkatkan. Isu mengenai
kenaikan harga barang perlu diatasi dengan cara berhikmah dengan
pendekatan kelestarian.

Kebergantungan terhadap sumber asli tidak boleh diperbaharui seperti
minyak perlu dikurangkan. Alternatif bagi menggunakan tenaga boleh
diperbaharui seperti solar, angin, dan ombak adalah langkah bijak yang
perlu diusahakan dengan serius. Langkah kerajaan untuk mengadakan Dasar
Tenaga Nasional dilihat wajar dan bertepatan pada masanya. Usaha ke
arah memperluaskan industri pertanian untuk bekalan makanan dalam
negara adalah suatu langkah proaktif yang amat wajar dilaksanakan.
Pengeluaran bekalan makanan dalam negara dapat mengurangkan import
bahan makanan daripada luar yang kini mengalami peningkatan harga kos
penghantaran dan pengeluaran. Sebarang kegiatan untuk mengeksploitasi
sumber asli seperti pembalakan hutan dan perlombongan secara
besar-besaran perlu disekat dan dihentikan. Atas kepentingan ekonomi,
sumber alam tidak sepatutnya dijadikan mangsanya. Kos memulihkan semula
akibat kerosakan adalah lebih besar daripada nilai ekonomi yang dijana
daripada kegiatan itu.

Di samping itu, peranan rakyat dalam mengamalkan gaya hidup mesra alam
amat dituntut. Kini perubahan sikap dan amalan terhadap perbelanjaan
perlu berubah. Pembaziran ketika membeli barang, perlu dielakkan.
Konsep 5R + 1C, iaitu guna semula (reuse), kurangkan (reduce), kitar
semula (recycle), fikir semula (rethink), baiki semula (repair) dan
kompos (composting) perlu menjadi amalan dalam kehidupan. Amalan ini
seharusnya bukan sekadar dilaksanakan pada peringkat rakyat, tetapi
perlu juga diserapkan dalam pentadbiran organisasi kerajaan dan swasta.

Sesungguhnya isu ekonomi adalah ancaman globalisasi yang tidak mudah
dielakkan. Kesan globalisasi ekonomi sudah diterima di kebanyakan
negara di dunia. Negara kita juga turut menerima tempias daripada
pusaran globalisasi yang memaksa penstrukturan semula subsidi dan
tambahan belanjawan kepada RM230 bilion bagi Rancangan Malaysia
Kesembilan. Dalam menghadapi globalisasi ini, strategi berkesan
menerusi pengukuhan teras ekonomi rakyat, mengurangkan kebergantungan
kepada pasaran global serta perubahan sikap masyarakat adalah langkah
terbaik dalam meneruskan agenda membangunkan negara secara lestari.

Penulis, lulusan Sarjana Kejuruteraan Alam Sekitar dan Ijazah Sarjana
Muda Kejuruteraan Bio Proses kini bertugas sebagai Pegawai Kawalan Alam
Sekitar
言言
言言

帖子数 : 89
学分 168
来自 : malaysia
注册日期 : 09-07-25
年龄 : 28

返回页首 向下

返回页首


 
您在这个论坛的权限:
不能在这个论坛回复主题