STPM :: SPM 考生论坛
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Koleksi Rencana Untuk Bacaan Tambahan Pelajar STPM

向下

Koleksi Rencana Untuk Bacaan Tambahan Pelajar STPM Empty Koleksi Rencana Untuk Bacaan Tambahan Pelajar STPM

帖子 由 言言 周日 七月 26, 2009 10:39 am

GOLONGAN INTELEK KURANG MEMBACA

Oleh MOHAMAD SOFEE RAZAK

Budaya membaca yang kuat adalah teras utama dan prasyarat untuk
menjadi sebuah negara maju. Jatuh bangun sesebuah negara dan bangsa
adalah bergantung kepada tahap pemikiran dan minda rakyatnya. Hakikat
ini tidak dapat dinafikan dan buktinya budaya membaca menjadi aspirasi
negara dan masyarakat yang bertamadun. Oleh yang demikian, amat tidak
masuk akal dan memalukan apabila sebuah laporan mendakwa pelajar
universiti di institusi pengajian tinggi yang mewakili masyarakat
berilmu di negara ini hanya sempat membaca 12 buah buku sahaja
sepanjang mereka berada di menara gading. Melihat kepada kajian
tersebut, adalah dibimbangi apakah bentuk, rupa dan sifat generasi
berilmu yang bakal dilahirkan oleh negara pada masa hadapan jika
mentaliti, tahap dan status minat membaca yang terlalu rendah ini. Oleh
itu, tabiat membaca yang masih rendah ini perlu diberikan perhatian
serius oleh pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan indeks tabiat
membaca dapat dipertingkatkan segera. Dilaporkan amalan membaca buku
tambahan di kalangan pelajar universiti di negara ini masih jauh
ketinggalan jika dibandingkan dengan pelajar universiti di luar negara
iaitu secara purata mereka hanya membaca 12 buah buku selama tiga tahun
pengajian atau empat buku setahun.

Keadaan ini berkemungkinan besar kerana sikap negatif mahasiswa itu
sendiri yang terlalu bergantung dengan nota yang diberikan oleh para
pensyarah dan tutor ataupun mengharapkan ihsan nota ringkasan pelajar
senior. Ada juga yang mengambil jalan mudah dengan membuat salinan
fotokopi nota rakan sekuliah dan menjadikannya kitab rujukan utama.
Situasi ini berlaku kerana mereka beranggapan bahawa tidak perlu
membaca buku tambahan dan membuat rujukan atau kajian lain kerana
mereka boleh lulus dengan hanya berkiblatkan nota yang diberikan oleh
pensyarah dan tutor sahaja. Walaupun para pensyarah amat menggalakkan
para pelajar membuat rujukan dengan buku tambahan dan bahan rujukan
lain, namun berapa ramai yang berbuat sedemikian. Ini boleh dilihat
kepada jumlah pelajar yang berkunjung ke perpustakaan universiti setiap
hari dan meminjam buku untuk rujukan tambahan. Ada juga pelajar yang
tidak pernah pergi ke perpustakaan sepanjang berada di universiti, dan
peliknya lulus dengan baik pula. Ada juga yang pergi ke perpustakaan
sekadar untuk membaca majalah, akhbar harian dan bahan bacaan ringan
lain atau sekadar melayari Internet sahaja.

Berdasarkan satu kajian yang dibuat oleh seorang pensyarah Jabatan
Media, Universiti Malaya (UM), Dr. Abu Hassan Hasbullah mengenai tabiat
membaca di kalangan pelajar universiti di negara ini menunjukkan mereka
hanya membaca empat buah buku setahun. Sebagai perbandingan jumlah buku
yang dibaca oleh pelajar universiti di Australia ialah 180 buah,
Indonesia (94 buah), India (130 buah), Thailand (56 buah) dan Brunei
(26 buah). Di samping itu juga, jumlah buku yang dibeli oleh pelajar
kita pula hanya setakat empat buah sahaja untuk tiga tahun pengajian
berbanding pelajar universiti di luar negara, jumlah buku yang dibeli
oleh pelajar Australia ialah 160 buah, Indonesia (43 buah), Thailand
(31 buah), India (75 buah) dan Brunei (15 buah). Lebih menakutkan
apabila laporan itu turut mendakwa jumlah buku yang dibaca oleh
pensyarah di Malaysia hanya mencecah purata 20 buah buku untuk tiga
tahun pengajian (enam semester). Fenomena tidak mesra buku ini sudah
tentu amat membimbangkan semua pihak memandangkan golongan cerdik
pandai yang menghuni taman dan gedung ilmu ini adalah contoh serta
teladan di menara gading; dan kelompok ini juga sepanjang hidup mereka
senantiasa bergelumang dalam kancah intelektual. Sekiranya golongan
intelektual ini kurang membaca, implikasinya sangat besar dan boleh
menyebabkan prestasi dan kualiti sesebuah universiti berada di tahap
yang kritikal. Keadaan ini berlaku berkemungkinan besar kerana
kemudahan dan kecanggihan teknologi siber masa kini memudahkan para
pelajar dan pensyarah membuat rujukan Internet di portal pendidikan,
blog, hab komunikasi, jurnal elektronik (e-jurnal), CD, DVD dan rujukan
elektronik lain tanpa bergantung kepada 3 kaedah rujukan tradisional
seperti buku, makalah, jurnal dan sebagainya sepertimana yang diamalkan
oleh kebanyakan pelajar dan pensyarah. Di samping itu juga, faktor
ekonomi dan harga buku rujukan akademik yang terlalu mahal sehingga
mencecah ratusan ringgit menjadikan pelajar dan pensyarah berfikir dua
kali untuk membelinya. Realiti dan inovasi ini menjadikan pelajar serta
pensyarah university tidak lagi bergantung kepada buku dan bahan
bercetak lagi. Melalui talian Internet juga para pelajar dan pensyarah
boleh melayari laman-laman web akademik berwibawa yang banyak
disediakan oleh universiti ternama dunia untuk kemudahan dan tujuan
akses rujukan ilmiah, kajian, pencerapan dan sebagainya.

Namun begitu, cadangan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar
agar kerajaan menyediakan satu dana khas bagi membangunkan dan
merancakkan lagi industri buku di negara ini perlu diberikan perhatian
lanjutan. Setakat ini tiada pinjaman yang dikhususkan untuk mereka yang
mahu terlibat dalam industri ini. Pihak bank seolah-olah tidak yakin
dengan kemampuan industri ini. Adalah diharapkan kerajaan dapat
menyediakan dana itu yang kemudian disalurkan ke bank-bank untuk
diberikan kepada mereka yang berminat membabitkan diri dalam industri
tersebut. Peranan NGO, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan golongan
jutawan juga diperlukan bagi memastikan kesinambungan industri buku
negara yang secara tidak langsung dapat memastikan minat dan budaya
membaca di kalangan rakyat Malaysia standing dengan negara luar.
Sokongan pihak-pihak ini juga boleh mengimbangi harga pasaran buku yang
terlalu tinggi terutamanya buku akademik yang membantut keinginan para
pembaca membelinya. Subsidi atau pakej khas pembelian buku akademik
juga perlu diwujudkan agar semua pihak mendapat manfaat dari industri
ini. Di samping itu juga, persatuan-persatuan pelajar juga perlu
menggembleng tenaga dan strategi dalam usaha meningkatkan kempen
membaca di kalangan mahasiswa dan bukannya asyik berpolitik sahaja.
Mereka perlu mencari jalan penyelesaian, kaedah dan alternatif terbaik
memupuk semangat kuat membaca di dalam dan luar kampus agar indeks
minat membaca dapat dipertingkatkan serta yang paling penting ialah
agar status mereka sebagai golongan bijaksana tidak akan dipertikaikan
oleh masyarakat apabila tamat pengajian nanti. Sebagai peneraju
institusi intelektual dan ejen perubahan juga, mereka perlu bangkit dan
menjadikan budaya membaca sebagai darah daging dan seumpama nyawa
mereka sendiri.

* MOHAMAD SOFEE RAZAK ialah peguam
言言
言言

帖子数 : 89
学分 168
来自 : malaysia
注册日期 : 09-07-25
年龄 : 29

返回页首 向下

Koleksi Rencana Untuk Bacaan Tambahan Pelajar STPM Empty 回复: Koleksi Rencana Untuk Bacaan Tambahan Pelajar STPM

帖子 由 言言 周日 七月 26, 2009 10:39 am

RENCANA 1
KECEMERLANGAN PELAJAR BUKAN PADA SEKOLAH
Oleh SITI NURSHAHIDAH SAH ALLAM

MENTALITI masyarakat tentang mendapatkan tempat anak-anak di sekolah
rerasrama penuh (SBP) merupakan satu prestij perlu diubah.Setiap kali
keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan
Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) diumumkan, serentak itu borang untuk
mendapat tempat di sekolah berasrama penuh dibuka untuk dijual kepada
orang ramai. Tujuan ibu bapa hanya satu, iaitu untuk mendapatkan tempat
pendidikan yang terbaik untuk masa hadapan anak-anak mereka.Keputusan
Kementerian Pelajaran untuk tidak bercadang menambah kuota di 54 buah
sekolah berasrama penuh amat wajar walaupun bilangan calon yang
mendapat keputusan 5A dalam UPSR sebanyak 48,400 calon. Ini kerana
kecemerlangan pelajar bukan ditentukan di mana mereka bersekolah tetapi
lebih bergantung kepada usaha bersama dan kegigihan pelajar, guru dan
pengetua sesebuah sekolah.

Secara tidak langsung isu ini memberi cabaran kepada pihak
pengurusan dan guru-guru sekolah harian untuk mempertingkatkan
pengurusan sekolah kepada berwawasan dan berkesan
serta mempertingkatkan ‘kemenjadian’ pelajar. Pengurusan yang cekap
dan perancangan yang strategik perlu untuk memastikan kecemerlangan
pelajar sentiasa berterusan dan berada ditahap paling optimum. Guru dan
pengetua sekolah mestilah sama-sama mengatur strategi dan menjadikan
sasaran untuk tersenarai sebagai sekolah kluster atau sekolah bestari
sebagai objektif utama. Jika strategi ini berjaya, tidak mustahil suatu
hari mutu pendidikan sekolah harian setanding dengan sekolah berasrama
penuh.Pelajar cemerlang merupakan tonggak harapan kepimpinan negara di
masa hadapan. Tetapi kecemerlangan bukan diukur dari segi mental
semata-mata tetapi juga dari segi rohani dan peribadi.

Media pernah melaporkan tentang pembuangan 15 orang pelajar Maktab
Rendah Sains Mara (MR***) Negeri Sembilan yang dibuang sekolah dan
diserapkan ke sekolah harian kerana masalah disiplin. Ibu bapa perlu
sedar kecemerlangan seseorang pelajar bukan sahaja terletak pada
kecemerlangan akademik semata-mata. Kecemerlangan ini mesti mempunyai
pakej iaitu, kecemerlangan dari segi fizikal dan spiritual. Rohani yang
tidak cemerlang akan menjurus kepada tingkah laku luar kawal. Justeru,
pelbagai program pembangunan rohani dan kokurikulum telah diwujudkan di
kebanyakan sekolah harian. Objektif penubuhan adalah untuk membentuk
pelajar bersahsiah mulia, menangani gejala sosial pelajar, melatih
pelajar berfikiran rasional dan membimbing pelajar melalui sesi
kaunseling. Program seumpama ini dijalinkan untuk melahirkan pelajar
yang terpimpin, berketerampilan, berdisiplin dan mempunyai jati diri
yang utuh untuk menempuhi dugaan era globalisasi.

Justeru, tidak hairanlah mulai tahun ini, Kementerian Pelajaran
bersama-sama dengan Kementerian Pengajian Tinggi telah melaksanakan
antara syarat seseorang calon untuk mendapat tempat ke IPTA mestilah
mencapai 10 peratus penglibatan kokurikulum. Ini bertujuan melahirkan
bakal kepimpinan negara yang bukan sahaja berdaya saing, kreatif dan
inovatif malah teguh menghadapi setiap cabaran. Penglibatan ibu bapa
perlu bagi memastikan pencapaian pelajar dan pengurusan berada di
peringkat optimum. Tidak wajar bagi sesetengah ibu bapa yang
mengharapkan kecemerlangan anak-anak bergantung kepada pihak sekolah
semata-mata tanpa terlibat sama dalam usaha melonjakkan kecemerlangan
sekolah dalam Sistem Pendidikan Malaysia. Senario setiap kali mesyuarat
PIBG di kebanyakan sekolah harian diadakan, pastinya mencatat kehadiran
yang kurang memuaskan.

Rata-rata memberi alasan bahawa sibuk dan mempunyai komitmen tugas
yang lebih penting daripada menghadiri mesyuarat untuk kecemerlangan
anak-anak mereka. Tidak kurang juga ada ibu bapa berpendapat mesyuarat
ini hanya untuk melengkapkan kalendar tahunan sekolah semata-mata
kerana setiap kali mesyuarat PIBG berakhir, tiada perubahan yang
dilaksanakan seperti yang diputuskan. Oleh itu, mulai saat ini PIBG dan
pihak pengurusan sekolah harus menjadikan mesyuarat PIBG dan
pelaksanaannya merupakan agenda penting untuk masa depan pelajar
khususnya dan sekolah amnya.

* SITI NURSHAHIDAH SAH ALLAM ialah Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Melaka.
言言
言言

帖子数 : 89
学分 168
来自 : malaysia
注册日期 : 09-07-25
年龄 : 29

返回页首 向下

返回页首


 
您在这个论坛的权限:
不能在这个论坛回复主题